Tuesday, May 7, 2019

Nazam Kembali...


Dedikasi untuk sahabat-sahabat yang berjuang dalam kehidupan yang penuh maksiat, pura-pura, sendiwara dan pengkianatan..

buat sahabat-sahabat ku, kita jalan terus..!!!



Pulang Si Tenggang....

jarak jasmani yang kutempuh ini
adalah perjalanan jiwa,
pemindahan diri dari tanah asal
ke negeri yang dikumpul oleh mata dan akal.
ilmu yang kukutip darinya
adalah ilmu pendatang,
yang belajar melihat, berfikir
dan memilih dari antara kenyataan
yang selalu berubah wajah.

benar, aku pernah berlaga suara
dengan ibu atau nenekku,
tetapi hanya setelah berkali memerikan rumit keadaan
yang tidak mereka cuba fahami  –
isteri yang mula kucintai di laut kesepian
di sempadan yang mengasingkan,
mereka telah bawa kepada prasangka.
aku tidak pulang sepenuhnya, aku tahu,
setelah dirubah waktu dan persekitaran,
dikasarkan oleh kepayahan, dianehkan oleh perpisahan.

tapi lihat,
aku mengangkut diriku pulang
setelah diperbesarkan oleh rasa percaya,
dilebarkan oleh tanah dan bahasa-bahasa.
aku tidak lagi takut kepada lautan
atau manusia lain-cara,
tidak mudah disesatkan
oleh bicara atau gagasan.
perjalanan tegak sebagai guru di geladak,
yang tidak enggan memaknakan
kebudayaan atau kelainan.
lihat, aku seperti kau juga
masih melayu,
peka pada apa
yang aku percaya,
dan lebih sedia memahami
daripada adik atau abangku.
muatan kapal ini juga buatmu,
kerana aku pulang.

perjalanan menjadikan aku pemilih,
pencari yang sering tidak menerima
daripada tangan yang tidak jujur,
atau yang mengungkit bayaran dari peribadi.
setelah tahun-tahun di lautan
aku belajar memilih-beza,
menerima hanya yang teruji bandingan
atau seciap dengan bijak datukku
yang membawaku pulang
ke kampung dan kesempurnaannya.

aku sudah belajar
jadi kurang ajar,
memeluk kenyataan dengan logika baru
berdebat dengan hujah
pejal dan nyaring, tapi juga
menghulur santun,  menghargai,
manusia dan kehidupan.

aku bukan manusia baru
tidak terlalu
berlainan daripadamu,
hanya penghuni dan kota
di pantai-pantai pelabuhan
menuntut bahawa aku tidak
bermenung di depan keasingan,
rusuh diserang kepayahan,
atau gerun kepada kemungkinan.

aku adalah kau
yang dibebaskan pagar kampong,
tanah dan istiadat,
merdeka, kerana aku telah menemui diri.


10.16am, Nazam Umrah @ Mecca


No comments:

Tujuan di Blog ini....

ingin merakamkan seluruh perjalanan kejayaan kehidupan, sebagai ketua keluarga dan kejayaan serta dalam perniagaan...
Dedikasi Untuk semua sahabat-sahabat yang TELAH dan AKAN bersama dalam menuju visi yang SATU...


Jadilah Yang Terbaik...

'...kalau kau tak boleh menjadi sepohon cemara di puncak gunung
jadilah sepohon melati di tepi bukit
kalau kau tak boleh menjadi sepohon melati di tepi bukit
jadi lah selengkar belukar di pinggir lembah
jadilah setompok rumput
buat menghias di tepi halaman...'


Partner in The Learning Process...